Usaha pemuliharaan Harimau

Kegiatan memburu harimau untuk bulunya serta kemusnahan habitat telah mengakibatkan bilangan harimau liar menjunam dengan teruk sekali. Pada permulaan abad ke-20, dianggarkan ada lebih 100,000 ekor harimau di dunia, tetapi kini tinggal kira-kira 2,000 ekor harimau liar sahaja.[64]

India

India selaku negara yang paling banyak bilangan harimau liar di dunia[65], sedang menjalankan sebuah usaha pemuliharaan bersepadu besar-besaran bernama Project Tiger sejak tahun 1973, melibatkan pembukaan hutan-hutan simpanan baru untuk memulihkan populasi harimau Benggala liar. Selain itu, langkah-langkah juga diambil oleh pihak kerajaan India untuk membasmi kegiatan memburu harimau secara haram, ditambah dengan pemindahan beratus-ribu penduduk kampung jauh dari habitat harimau agar mengurangkan pertembungan yang tidak diingini antara manusia dan harimau.[66] Setakat ini terdapat kira-kira 1,400 ekor harimau Benggala.

Rusia

Harimau Siberia menghampiri kancah kepupusan dengan 40 ekor yang tinggal pada 1940-an, tetapi akhirnya diselamatkan apabila pihak pentadbiran Kesatuan Soviet menetapkan kawasan terlindung untuk membasmi kegiatan memburu. Pada 1990-an, kegiatan memburu harimau untuk pasaran China serta pembasmian hutan menjadi cabaran utama kepada usaha pemuliharaan subspesies harimau ini. Antara langkah-langkah yang diambil termasuklah memujuk para pemburu untuk memberi tumpuan kepada serigala, kerana harimau tidak banyak mengehadkan bilangan mangsa berbanding serigala, oleh itu ada baiknya mengawal populasi serigala.[67] Kini, terdapat 400-550 ekor harimau Siberia yang liar.

China

Pertubuhan Save China's Tigers berusaha memperkenalkan Harimau Cina Selatan yang dikurung di Afrika Selatan ke dalam habitat aslinya yang dijadikan hutan simpanan, yang mana harimau-harimau berkenaan dilatih semula untuk mengasah kemahiran memburu seperti haiwan liar, di samping membiak secara semula jadi.[68]